Oleh: WFAUZDIN NS
TERKEJUT !! Menipu kalau aku kata aku tidak terkejut apabila diberitahu Us Dr Badrul Amin ditahan oleh JAIP di sebuah hotel di Kuantan pada 25 Feb yang lalu. Terkejut kerana ditahan untuk siasatan kes khalwat pada malam itu bersama seorang wanita berstatus isteri orang.
Memang kita tahu, status seseorang bukan jaminan seseorang itu mempunyai moral yang baik atau tidak. Begitu juga status Ustaz mahupun seseorang Mua'lim sekalipun kerana semakin kuat ilmu agamanya semakin kuat pula dugaan yang dihadapinya. Maka sesiapa sahaja boleh diuji dengan berbagai ujian untuk menentukan tahap keimanannya termasuk Us Dr Badrul Amin.
Ramai kawan-kawan aku baik dari PR mahupun Umno mahu tahu apa pula yang aku mahu komen tentang isu yang melanda Us Dr Badrul Amin. Aku lambat untuk mengulas isu ini, pertamanya pada waktu kejadian aku agak sibuk membantu parti di dalam program ceramah DS Anwar di Pejabat Keadilan Pahang dan selama dua hari aku boleh dikatakan berkampong di pejabat tersebut tanpa sempat membuka laptop untuk `update' blog mahupun facebook. Maklumlah, notis untuk mengadakan program ceramah DS Anwar amat singkat dan kami terpaksa bekerja sepenuh masa sepanjang tempoh tersebut.
Cerita tentang Us Dr Badrul Amin ditahan oleh JAIP aku terima sewaktu aku berada di Ibu Pejabat Keadilan, lokasi DS Anwar berceramah pada 25 Feb iaitu hari Us Dr Badrul Amin ditahan. Aku terperanjat besar kerana siapa sangka peristiwa ini menimpa ke atas beliau? Hati kecil memang tidak percaya, tetapi akhirnya dengan pengakuan daripada beberapa pimpinan parti akhirnya aku percaya bahawa Us Dr Badrul Amin memang telah ditahan oleh JAIP atas kes khalwat. Aku percaya beliau memang telah ditahan, betul atau tidak beliau melakukannya? Wallahu Aklam.
Awal pagi 26 Feb, aku sempat SMS Us Dr Badrul Amin bertanyakan kisah tersebut. Beliau membalas SMS aku. Beliau berkata beliau ok dan bertanya pada aku samada sudahkah aku membaca kenyataan media yang telah beliau hantar kepada Harakahdaily? Aku pun kata aku akan lihat kenyataan media yang beliau sebutkan itu. Itu saja SMS aku dengan Us Dr Badrul Amin dan aku telah pun membaca kenyataan media beliau.
Bagi aku, itu kenyataan media beliau dan kenyataan media bukan sebagai bukti beliau tidak bersalah. Tahanan oleh JAIP juga bukan bererti beliau memang bersalah. Aku tetap mempunyai pendirian yang sama seperti pendirian aku terhadap kes DS Anwar, iaitu perbicaraan mestilah dibuat secara adil. Us Dr Badrul Amin mesti diberi hak untuk membuktikan beliau tidak bersalah manakala JAIP pula mesti diberi kebebasan untuk melaksanakan tugasnya secara profesional. Ini sejajar dengan kenyataan resmi Keadilan yang mahukan perbicaraan mesti adil dan profesional, iaitu adil kepada yang dituduh, adil kepada pihak JAIP.
Sehingga kini aku tidak anggap JAIP mempunyai konspirasi kerana setakat ini aku belum nampak kepincangan JAIP, tetapi selain dari JAIP aku tidak pasti samada memang wujud konspirasi atau tidak. Urutan peristiwa kelihatannya banyak versi. Ada yang sebut ditahan sewaktu Us Dr Badrul Amin bersendirian di dalam bilik, ada yang sebut ditahan ketika beliau hanya bertuala dan bersama wanita itu. Itu yang diceritakan di dalam beberapa blog, bukan dari mulut Us Dr Badrul Amin dan bukan juga dari kenyataan JAIP. Ertinya, mungkin benar mungkin tidak.
Apabila situasi ini berlaku dengan berbagai cerita, maka adalah adil dan wajar kita serahkan kepada JAIP yang bakal membuat laporan hasil dari siasatannya untuk ditimbangkan samada kes ini perlu dibicarakan atau tidak. Sekiranya kes ini dibicarakan, srtiap babak di dalam perbicaraan itu nanti amat penting. Pihak yang menuduh dan menahannya perlu tampil dengan segala saksi atau bukti yang ada manakala si dituduh akan tampil untuk mempertahankan dirinya sekiranya beliau merasakan beliau tidak bersalah.
Tindakan KEADILAN yang menggantung Us Dr Badrul Amin dari jawatannya di dalam parti amat tepat dan adil sehingga kes beliau selesai. Tindakan KEADILAN yang menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan tindakan selanjutnya juga adalah bukti menunjukkan KEADILAN profesional di dalam menghadapi kes ini. Aku turut bersetuju jangan sesiapa pun cuba `cover' kes ini atau cuba `mencipta cerita baru atau nasi tambah' untuk tujuan tertentu di dalam isu sebesar ini.
Kebenaran mesti kita bela, kesalahan pula mesti kita tentang tidak kira sesiapa pun dan apa jua statusnya di dalam parti./
wfauzdin.blogspot.com