RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Khamis, 25 Jun 2009

ISU WANG 1 JUTA - MENTERI HAIRAN DI BAGAIMANA AZMIN PEROLEHI MAKLUMAT

Azmin persoal peruntukan promosi RM1 juta kepada Todt



KUALA LUMPUR - Peruntukan RM1 juta kepada Datuk Seri Jean Todt adalah untuk tujuan mempromosi Malaysia di luar negara dan bukan bayaran sebagai duta, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata, bekas pengurus Formula 1 Ferrari itu yang dilantik sebagai Duta Tourism Malaysia selama dua tahun pada Mei lalu, menjalankan tugasnya sebagai sukarelawan tanpa mengenakan bayaran.

Menurutnya, dalam usaha mempromosikan negara pasti memerlukan perbelanjaan dan RM1 juta yang diberikan kepada Todt bukan untuk kegunaan peribadinya tetapi peruntukan untuk usaha mempromosi seperti perjalanan dan majlis pertemuan.

"Peruntukan ini bukan dalam bentuk wang tunai. Jika anda hendak melakukan promosi di Eropah, RM1 juta sebenarnya tidak mencukupi. Todt tidak dibayar apa-apa pun. Sekiranya beliau mahu bergerak, takkan beliau perlu mengeluarkan duit poket sendiri," katanya di lobi Parlimen, semalam.

Yen Yen berkata demikian mengulas dakwaan Ahli Parlimen Gombak (PKR), Azmin Ali yang mempersoalkan peruntukan wang hampir RM1 juta dengan melantik Todt sebagai Duta Pelancongan Malaysia.

Azmin mempersoalkan pelantikan itu memandangkan Tourism Malaysia mempunyai pejabat di kebanyakan negara utama di dunia.

Azmin berkata, sebagai perbelanjaan promosi, Todt diperuntukkan RM593,400 dan RM360,000 lagi sebagai bayaran mengunjungi negara ini.

Naib Presiden PKR itu juga mendakwa Todt dan tunangnya rakyat Malaysia, Datuk Michelle Yeoh ditawarkan sebahagian tanah di Pulau Besar yang terletak di Terengganu.

Azmin bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut tarikh tawaran peruntukan itu kerana mahu Kementerian Pelancongan menjawab isu berkenaan terlebih dahulu.

Yen Yen dalam pada itu mempersoalkan tindakan Azmin mendapatkan maklumat tersebut kerana maklumat seumpama itu adalah sukar diperolehi.

“Bagaimana dia (Azmin) boleh dapat dokumen ini, dan selepas itu bawa pula ke parlimen, minta kita jawab pula.

“Azmin sebagai ahli parlimen yang bertanggungjawab perlu memberitahu sendiri kepada saya bagaimana beliau mendapat maklumat tersebut," katanya.

Beliau juga menafikan Todt dan Teoh memiliki sebarang tanah di pulau itu seperti yang didakwa Azmin.

“Soal tawar tanah di pulau tidak berlaku, beliau tidak pernah memiliki apa-apa tanah di Pulau Besar,” katanya./Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan