RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 6 November 2010

SAYA PUN PERNAH BERTEMU AZMIN - NURUL IZZAH

Biarpun berulang-kali disifatkan sebagai pertarungan dalam satu keluarga, namun dunia politik tidak terpisah daripada percaturan strategi dan taktik. Setiap gerak-geri ahli politik akan dikaji motif yang tersirat di sebaliknya, lebih-lebih lagi mereka yang meragui keikhlasan Zaid Ibrahim dalam konteks ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah motif di sebalik pujian tersebut?

"Beginilah, saya tidak suka untuk meneliti kenyataan sebegitu. Yang terbaik untuk menjawab adalah benam. Pada saya, sekarang kita pergi kepada visi beliau (Zaid Ibrahim) selaku jawatan Timbalan Presiden. Itu yang lebih penting. Kalau memang beliau nak memenangkan diri beliau, jadi ahli-ahli perlu dimaklumkan tentang visi beliau. Sama seperti YB Azmin."

"Jadi, untuk isu sama ada beliau memuji saya, saya hargai. Tentunya, siapa yang tidak? Pada masa yang sama, adakah itu akan memastikan saya akan berdiam diri sahaja mengikuti satu aliran? Tidak."

Menjawab kepada spekulasi bahawa dirinya dilihat memihak kepada Zaid Ibrahim, sementara Anwar dilihat menyebelahi Azmin Ali, Nurul Izzah cuba menyangkal dakwaan tersebut.

"Saya rasa kamu perlu tengok track rekod saya. Di mana saya berceramah untuk pemilihan, saya berkempen di mana? Saya berkempen di Kuala Pilah, Dato Kamarul ada, Shamsul Iskandar ada. Dan di Kuala Pilah, ada banyak lagi calon lain. Saya juga berkempen di Melaka, di Alor Gajah. Siapa ada? Dato Zaid ada situ, berkempen sekali, dan juga beberapa calon lain. Kemudian di Pahang. Di Pahang, yang ada bersama adalah YB Azmin Ali, di Kuantan. Dan di Perak, yang bersama saudara Mustaffa Kamil Ayub."

Beliau meneruskan, "Saya rasa, kita perlu wujudkan medan di mana semua calon patut bersuara, bertemu dengan ahli. Itu medan yang paling saksama. Jadi, dalam ucapan saya, saya kata, saya serahkan kepada ahli-ahli untuk memilih. Jadi pilihlah dengan baik, yang ada integriti, yang ada visi yang boleh menggerakkan ke depan untuk parti."

"Jawatan nombor dua. Jawatan nombor dua bukan jawatan yang senang, terutamanya dalam konteks kita berdepan dengan banyak cabaran kepada Ketua Umum. Jadi kepada saya, yang lain kalau nak spekulasi, spekulasi. Saya tidak lihat...(tapi) Akan menjadi kerugian kepada kita kalau kita meminggirkan mana-mana pimpinan. Parti kita ini parti yang hanya boleh berjaya bila reformasi mekar dalam parti. Bila kita dapat menggamit harapan dan imaginasi masyarakat luar."

Beliau menyimpulkan, "Kalau kita inward looking (lebih mengambil berat hal ehwal diri), lupa tentang isu-isu yang relevan di luar, you should just close shop (kamu harus gulung tikar sahajalah). Itu pandangan saya."

Berunding dengan sesiapa sahaja

Desas-desus tidak terhenti begitu sahaja. Rundingan demi rundingan berlangsung sebelum hari pencalonan. Wartawan senior The Star, Joceline Tan dalam kolumnya Anwar puts his foot down pada 17 Oktober, mengisahkan bagaimana rundingan berlaku di antara Zaid Ibrahim dengan tiga orang wanita, bernama Wan Azizah, Nurul Izzah dan Faekah Husin (Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim), sebelum hari pencalonan pemilihan PKR peringkat pusat.

"Pada saya, dalam konteks parti, tidak ada salah saya berunding dengan sesiapa sahaja untuk mana-mana jawatan dalam parti. Saya pun bertemu dengan YB Azmin Ali (gambar kiri) dengan saudara Mustaffa Kamil Ayub, dan juga Dato Zaid Ibrahim sebelum memberikan kertas pencalonan saya," akui Nurul Izzah, yang enggan berasa apologetik kerana ianya bukan pertemuan dengan orang luar dari parti lain.

"Ini parti sendiri, kenapa nak jadi masalah? Kenapa nak jadi satu yang kontroversi?" beliau mempersoalkan.

Bagaimanapun, keputusan Nurul Izzah yang berubah-ubah, dari "tumpu kepada cabang Lembah Pantai" (tidak bertanding di peringkat Pusat), hinggalah "menawarkan diri di barisan Naib Presiden", dan memberi persepsi "mungkin bertanding untuk Timbalan Presiden" pada saat-saat akhir, turut mencungkil kesangsian. Nurul sebenarnya mempunyai ruang di sayap AMK mahupun Wanita, bahkan mungkin lebih senang diterima jikalau bertanding untuk mendapatkan kerusi di Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Nurul (gambar kanan) cuba menjustifikasikan dengan alasan mendekatkan keperluan generasi muda dengan parti, namun alasan ini agak lemah untuk menyanggah tafsiran sesetengah analisa, bahawa beliau menyasarkan Naib Presiden kerana mahu mengimbangi kuasa Timbalan Presiden, seandainya dimenangi Azmin Ali.

"Kenapa perlu berpaksi atau bertumpu kepada YB Azmin? Mungkin Dato Zaid akan menang. Mungkin Mustaffa Kamil Ayub akan menang. Jadi, bagaimanakah boleh terus dirumuskan bahawa keputusan saya hanya ditumpukan pada Azmin? Pada saya, you make the wrong decision sebab you make it based on your supposed enemy."

Menyedari realiti bahawa "lebih tinggi kita menaiki tangga sosial politik, lebih banyak lagi serangan yang dikemukakan", beliau tetap mahu meluahkan pandangannya, "Tapi bagi saya, dalam mana-mana parti sekali pun, bila ada banyak power bases, lebih sihat budaya parti. Itu pandangan peribadi saya."/Merdeka Review

Tiada ulasan:

Catat Ulasan