RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Isnin, 31 Januari 2011

PAS TEWAS - SATU KRITIKAN DAN PANDANGAN YANG POSITIF

PRK Tenang baru berlabuh dengan catatan kemenangan BN bertambah majoriti. Kemenangan ini sebenarnya bukanlah boleh dibanggakan kerana hampir 50% pengundi Tionghua tidak dapat keluar mengundi akibat bantuan pengangkutan ke tempat mengundi lebih bertumpu ke kawasan majoriti pengundi BN.

Walaupun begitu, majoriti BN tetap gagal melepasi 4000 undi jauh sekali 5000 undi. Positifnya, pengundi Tionghua tetap menolak BN walaupun Presiden MCA menghina Islam secara terbuka. Maksudnya, masyarakat Tionghua lebih memahami budaya Islam sejak DAP berkawan dengan PAS. Menang tetap BN menang, PAS perlu membuat bedah siasat faktor-faktor kekalahan terutama kegagalan menambah undi di kawasan Melayu.

Walaupun ada tuding menuding tetapi penulis harap semua itu akan membawa impak positif kepada perjuangan PAS menghadapi PRU-13. Penulis tidak akan menghalakan tudingan kepada Pengarah Pilihanraya, jentera pilihan raya dan calonnya Cikgu Mala.

Penulis lebih menghalakan tudingan ini kepada PAS Kawasan Labis, bukan untuk memperkecilkan tetapi lebih kepada penambah-baikan sebagai persediaan menghadapi PRU-13. Malah, tulisan ini juga sesuai untuk semua PAS Kawasan yang ada di Malaysia yang teruja untuk bertanding dalam PRU-13.

Apabila PAS masuk bertanding untuk PRK Tenang, asas pemilihan PAS adalah kerusi itu adalah kerusi yang ditandingi PAS semasa PRU-12. Sebagaimana juga di Bagan Pinang, Galas, Kuala Terengganu, Manek Urai, Permatang Pasir dan Bukit Gantang.

Tahukah kita mengapa PAS boleh menang di Permatang Pasir dan Bukit Gantang? Kerana undi orang Melayu kepada PAS di situ melebihi 40%. Apabila ditambah undi bukan-Melayu , PAS menang.

Bagi kawasan majoriti Melayu di Kuala Terengganu dan Manek Urai undi yang PAS terima lebih 50% jadi PAS menang. PAS kalah di Galas kerana undi orang Melayu kepada PAS kurang 50%.

Berapakah undi orang Melayu yang diterima oleh PAS di Bagan Pinang dan Tenang ? kurang 35 % malah di Tenang kurang 25 % . Penulis terima hakikat bahawa kawasan ini kubu kuat Umno sejak merdeka tetapi apakah persediaan dan usaha yang telah dilakukan PAS Kawasan berkenaan untuk menembusi kubu kuat Umno ini.

Cawangan

Berapa cawangan PAS di Bagan Pinang? Tiga (3). Berapa cawangan PAS di Tenang? Enam (6). Maaf jika angka itu salah. Sejak PRU-12, berapa cawangan yang ditambah oleh PAS Kawasan. Jika akar umbi tidak kuat bagaimana PAS boleh masuk ke kawasan kubu kuat Umno.

Bila berlaku pilihan raya, sukarnya petugas untuk berkempen kerana tiada bantuan orang tempatan. Mungkin ada tetapi takut sebab tidak ada cawangan dan tak biasa bersama dalam aktiviti PAS.

YDP PAS di mana-mana kawasan perlu jadikan usaha penambahan cawangan ini sebagai agenda dalam mesyuarat kawasan. Jangan tunggu bubar parlimen baru kelam-kabut cari orang tempatan di kampung atau Felda yang dikenali untuk bantu. Sepatutnya, sekaranglah masa kumpulkan orang tempatan yang sokong PAS dan usahakan penubuhan cawangan.

Pengundi baru

Berapa pengundi baru di kalangan anak ahli dan penyokong PAS yang didaftar sebagai pengundi di Bagan Pinang dan Tenang? mengecewakan, buktinya rujuk jumlah pengundi baru yang didaftarkan oleh PAS NS dan Johor.

Tidak adakah pengundi baru di kalangan anak ahli dan penyokong? Ada tetapi PAS Kawasan tak ambil berat untuk daftarkan. Bila sampai pilihan raya, tengoklah betapa ramainya anak ahli dan penyokong yang dah lebih umur 21 tahun tak boleh mengundi.

Sudah ada arahan supaya agenda penambahan pengundi baru dibincang dalam mesyuarat kawasan. Malah PAS dah pinda perlembagaan membolehkan seorang Pengarah Pilihan raya duduk dalam Jawatankuasa Harian Kawasan. Namun, sudah berjalankah usaha penambahan pengundi baru?

Kebajikan dan kemasyarakatan

PAS dah lama menjadikan usaha memasyarakatkan PAS untuk mendekati masyarakat. Semasa PRU-12, PAS telah menggunakan slogan ke arah negara berkebajikan bagi membuktikan bahawa PAS benar-benar parti yang memperjuangkan kebajikan rakyat.

Persoalannya, adakah PAS Kawasan sudah merealisasikannya secara bersungguh-sungguh atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Hendak tahu bersungguh atau tidak, tengok jumlah derma kebajikan yang telah diberikan kepada penduduk.

Tengok berapa kali aktiviti berbentuk kebajikan yang telah di buat kepada penduduk. Tengok berapa dana kebajikan dalam akaun. Nilailah sendiri usaha PAS Kawasan dalam bidang kebajikan.

Apabila tiba pilihan raya, baru turun nak bagi sumbangan sudah terlambat sebenarnya kerana tak termampu menandingi bantuan musuh. Malah akan ramai pengundi yang akan berkata, "bila pilihan raya baru nak bagi bantuan"

PAS Kawasan perlu menjadikan usaha kebajikan sebagai usaha dakwah dan bukan hanya bertujuan untuk pilihan raya. Oleh kerana, kebajikan hanya semasa pilihan rayalah kurang usaha menambah dana kebajikan membantu rakyat.

Rakyat perlu didampingi, dibantu dan didekati tidak kira semasa pilihan raya atau tidak. Jika PAS Kawasan sudah menjalankan usaha kebajikan sebagai rutin bukan hanya pilihan raya. PAS Kawasan tidak akan merasa hampa walaupun kalah pilihan raya kerana usaha membantu rakyat tetap diteruskan.

Jika PAS Kawasan menang pun, wakil rakyat tidaklah pening kepala membantu rakyat kerana PAS Kawasan boleh membantu. Malah, PAS Kawasan juga tidak pening kepala apabila rakyat tidak puas hati dengan wakil rakyat PAS yang tidak membantu rakyat kerana PAS Kawasan tetap ada membantu rakyat.

Penulis cuma berikan tiga perkara penting ini untuk diambil perhatian oleh mana-mana PAS Kawasan di Malaysia. Jika PAS Kawasan dah laksanakan, syukur dan tahniah. Bagi yang belum laksana buatlah kerana semua kerja ini bertujuan untuk menegakkan perjuangan Islam.

PAS mungkin bertanding di Merlimau, sebelum bertanding PAS Kawasan di sana kena tengok tiga perkara penting ini. Jika cawangan banyak, pengundi baru ramai, usaha kebajikan aktif. Percayalah PAS ada harapan besar menang, namun jika belum laksanakan jangan sekali - kali mengalah tak mahu bertanding. Bertanding tetap bertanding kerana itu kerusi PAS.

Kesempatan ini, penulis ucap tahniah kepada seluruh pimpinan dan petugas PAS yang menabur bakti di Tenang. PAS Kawasan Labis mempunyai pimpinan yang berkualiti seperti Cikgu Mala dan beberapa pimpinan lain. Cikgu Mala boleh mulakan dari sekarang usaha mendekati rakyat melalui Pusat Aduan Rakyat di Tenang. PAS Kawasan perlu bersama Cikgu Mala mengaktifkan Pusat Aduan berkenaan.

Janganlah anggap penulis ni hanya boleh berteori, hanya boleh menulis tidak di medan sebenar. Penulis sudah berada di medan sebab itulah penulis menulis berdasarkan pengalaman. Penulis dah banyak menulis berkenaan perkara di atas N3 yang lepas. Boleh baca semula paparan di bawah:

Oleh: Tulahan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan