RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 29 April 2011

DSAI : Saya tak akan tunduk serangan Umno-BN

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

April 29, 2011
Anwar Ibrahim berkata dalam mana-mana arena politik tidak demokratik, wajah pembangkang yang berwibawa akan diserang dengan teruk. — Foto oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 29 April — Musuhnya boleh membawa seberapa banyak video seks atau tuduhan liwat, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kesemuanya tidak akan memaksa beliau berundur daripada arena politik dan melepaskan tanggungjawabnya sebagai ketua Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, pemimpin berusia 63 tahun ini percaya serangan demi serangan yang dibawa Umno terhadap bekas timbalan perdana menteri itu jika dilayan bermakna beliau “tunduk” kepada perancangan berterusan parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Ketua Umum Pakatan Rakyat ini memberitahu The Malaysian Insider, meskipun perikatan tiga parti itu digantikan oleh seorang ketua yang baru, serangan oleh Umno-BN tidak akan dihentikan.

“Dalam pemerintahan diktatorial yang tidak demokratik, mana-mana wajah pembangkang yang berwibawa akan diserang dengan teruk,” katanya lagi.

“Anwar menjadi sasaran, tetapi jika Anwar meninggalkan pentas dan anda mendapat pemimpin baru, maka pemimpin ini akan diserang,” kata beliau dalam temu bual ini yang diadakan kelmarin, sehari sebelum rakaman video seks yang didakwa mirip beliau dimuat naik di laman YouTube.

Dalam temu bual eksklusif ini, Anwar menjelaskan meskipun serangan yang dihadapinya itu sangat “melukai hati” diri beliau dan juga keluarganya, usaha-usaha untuk menamatkan kerjaya politik bukan sesuatu yang baru.

“Ia (satu perbuatan) menghina maruah,” kata bapa kepada enam orang anak dan mempunyai dua cucu ini.

Bagaimanapun beliau menekankan, serangan-serangan itu memperkuatkan azamnya untuk terus menerajui Pakatan Rakyat.

“Jika saya berundur dan melepaskan (jawatan), ini bermakna kita tunduk kepada rekaan (politik) Umno... siapa yang patut menentukan sama ada saya patut berundur atau tidak? Parti-parti Pakatan Rakyat dan pengundi buat keputusan. Saya tidak akan tunduk kepada tekanan ini,” kata Anwar.

Anwar dilihat sebagai pengikat kerjasama dan hubungn komponen Pakatan Rakyat iaitu PKR, PAS dan DAP, yang ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas pilihan raya umum ke-12.

Beliau berhadapan dengan tuduhan liwat pertama pada 1998 dan yang kedua satu dekad kemudian, di mana sama ada Ketua Umum PKR ini akan dipanggil bela diri atau dibebaskan akan ditentukan 16 Mei ini.

“Saya terus diserang, sejak tuduhan pertama pada 1998... ramai tidak dapat membayangkan yang mereka (Umno-BN) (sanggup) mengambil tindakan macam ini, tetapi ia bukan tuduhan yang baru, bukan?” kata bekas timbalan presiden Umno ini.

Anwar berkata, tindakan-tindakan ini, yang beliau sifatkan sebagai terdesak, bertujuan menghentikan usahanya mahu mewujudkan sebuah kerajaan bebas rasuah.

“Sebagai contoh, sebuah pasukan pihak berkuasa berasuah yang cuba mencemarkan anda, menghentikan kempen anda menentang rasuah... adakah anda akan menyerah diri? Itu penekanan saya. Anda perlu ada iltizam dan semangat dalam apa yang anda lakukan,” katanya lagi.

Sehari selepas temu bual ini, rakaman video seks yang tidak diedit menggambarkan Anwar dimuat naik di YouTube, langkah yang dilihat sebagai usaha mengenakan tekanan ke atas Ketua Pembangkang itu yang sejak sebulan lalu menafikan beliau sebagai si pelaku dalam aksi seks terbabit.

Rakaman video itu dibahagi kepada empat segmen dan berlarutan kira-kira empat minit dan 28 saat.

Video seks 21 minit itu buat kali pertama dipertontonkan kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara di sini, 21 Mac lalu oleh “Datuk T”.

Anwar juga berkata beliau tidak mahu fokus perjalanan politiknya diganggu oleh penyebaran tuduhan video seks yang dipertontonkan pada 21 Mac lalu.

“Saya tidak mahu dialih pandangan dengan pendedahan video, ia didedahkan ketika dekat dengan pilihan raya Sarawak.

“Di Sarawak, saya berkempen selama 13 hari ketika serangan Umno begitu tinggi, menggunakan video... tetapi ia bukan pilihan untuk serah diri sekarang, bukan sekarang,” kata Anwar lagi.
“Saya perlu teruskan (perjuangan),” katanya lagi.

Keluarganya menurut Anwar lagi, adalah sumber kekuatan beliau sepanjang berhadapan dengan waktu-waktu yang sukar dan mereka sentiasa menyokongnya dalam keputusan seharian sebagai ahli politik.

“Saya ada keluarga yang hebat dan saya harus ucapkan terima kasih kepada mereka,” katanya lagi.

“Azizah, anak-anak saya... meskipun ketika saya menjadi timbalan perdana menteri, mereka bukan anak timbalan perdana menteri, mereka anak Anwar dan Azizah,” kata beliau dengan senyuman.TheMalaysiaInsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan