TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

KOBAT FM


web widgets

ADAKAH WAJAR DITERUSKAN RUNDINGAN DENGAN PAS ?

Ahad, 24 April 2011

MENYALAHKAN PIHAK LAIN, NIK ABDUH KENA BELAJAR LAGI DENGAN AYAHANDANYA

Oleh: WFAUZDIN NS

MEMANG tiada pilihan lain untuk terus memimpin PAS selepas Muktamar PAS bulan Jun ini nanti melainkan Presiden PAS yang ada sekarang iaitu Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Saya pun melihatnya begitu dan ramai di kalangan pimpinan PAS pun berasa sedemikian walaupun dikatakan ada pencalonan untuk memberi cabaran kepada tokoh utama PAS tersebut.

Saya turut bersetuju dengan pandangan Datuk Husam Musa bahawa perlunya Tuan Guru Hj Hadi terus memimpin PAS kerana tiada alasan kukuh untuk menamatkan kepimpinan beliau. PAS harus terus diterajui oleh pemimpin bertaraf Ulamak, dikenali diserantau dunia serta mempunyai serta boleh berdiplomasi dengan rakan-rakan di dalam PR. Sehingga kini, Tuan Guru Hj Hadi masih mengekalkan status itu tetapi bukan bererti beliau `perfect' seratus peratus. Mana ada manusia yang sempurna seratus peratus, tetapi Tuan Guru Hj Hadi masih lagi yang terbaik dari yang baik di dalam PAS.

Terbaru, sokongan terbuka oleh Us Nik Abduh Nik Abdul Aziz, anak kepada Mursyidul Am PAS yang menyatakan sokongan kuat beliau terhadap Tuan Guru Hj Hadi. Di dalam akhbar Sinar hari ini, Nik Abduh `menyerang' Prof Dr Aziz Bari yang mengkritik kepimpinan Tuan Guru Hj Hadi Awang sehinggakan menganggap Presiden PAS itu sebagai libialiti kepada PR. Sebagai seorang pemerhati dan peminat kepada PR, tidak salah Prof Dr Aziz mengkritik Presiden PAS tetapi beliau tidak boleh menggesa agar Tuan Guru Hj Hadi dijatuhkan. Oleh kerana itu, Nik Abduh mengkritik Prof Dr Aziz Bari dengan nada yang agak keras sesuai dengan kerasnya kritikan Prof Dr Aziz terhadap Presiden PAS. Itu tidak salah.

Tetapi apa yang tidak kena dengan kritikan Nik Abduh terhadap Prof Dr Aziz di dalam beliau mempertahankan Tuan Guru Hj Hadi? Apa yang tidak kena adalah apabila Nik Abduh menyindir dengan menyebut, mengapa Tuan Guru Hj Hadi di persalahkan dengan kekalahan 5 kerusi PAS yang ditandingi di dalam PRN Sarawak baru-baru ini sedangkan bukan Tuan Guru Hj Hadi yang mencalonkan Baru Bian sebagai calon KM Sarawak jika PR memerintah Sarawak.

Sindiran Nik Abduh itu amat tidak bertanggungjawab samasekali kerana beliau cuba mengungkit perkara yang lepas lebih-lebih lagi ingin melepaskan tanggungjawab terhadap kekalahan PAS di Sarawak. Mungkin Nik Abduh fikir jika calon PAS dinamakan sebagai calon KM Sarawak, maka PAS boleh menang? Nik Abduh sepatutnya fikir juga mengapa kerusi PAS di Galas dapat dirampas, mengapa PAS tewas di Tenang, Merlimau dan Kerdau. Adakah yang bertanding di kerusi berkenaan adalah dari kaum Cina, India, Iban atau berbangsa Kristian? Mengapa PAS tewas di kubu sendiri dan juga di kawasan majoriti Melayu itu?

Saya hormat pendirian Nik Abduh mempertahankan Tuan Guru Hj Hadi tetapi mempertahankan Hj Hadi dengan menyerang keputusan PR di Sarawak bukan satu cara yang cerdik. Sepatutnya Nik Abduh teliti dahulu perkara-perkara berikut sebelum mengaitkan kekalahan PAS di Sarawak;

1. Adakah keputusan menamakan Baru Bian dari PKR sebagai bakal KM Sarawak tidak mendapat persetujuan kepimpinan PAS?

2. Mengapa ayah Nik Abduh iaitu Tuan Guru Nik Aziz sendiri menyeru agar rakyat di Sarawak menyokong semua calon PR di Sarawak dan tidak pernah kita dengar mana-mana pemimpin PAS yang mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan keputusan PR menamakan Baru Bian sebagai calon KM Sarawak?

3. Sepanjang kempen berjalan, pimpinan PAS semuanya menyatakan berpuas hati dengan sokongan rakyat terhadap PAS di kawasan yang ditandingi oleh PAS, bahkan disaat-saat akhir PAS begitu yakin akan memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi. Ketika itu mengapa isu Baru Bian tidak menjadi isu yang besar?

4. Adakah Nik Abduh tidak tahu betapa kesemua kawasan yang ditandingi oleh PR termasuk kawasan PAS ini telah diserang dengan segala tipu helah beserta rasuah politik oleh puak mereka?

5. Adakah DAP yang memenangi banyak kerusi di Sarawak adalah kerana Baru Bian bakal menjadi KM Sarawak?

Sekiranya bukan Baru Bian dinamakan sebagai calon dan diletakkan kaum Melayu Islam samada dari PKR atau PAS sebagai bakal KM Sarawak, adakah Nik Abduh yakin PAS boleh memenangi hatta satu kerusi di Sarawak? Atau, mungkin PAS dapat menang kesemua lima kerusi yang ditandinginya, tetapi mustahilkah berbelas kerusi lagi yang ditandingi oleh PKR atau DAP juga bakal hilang? PKR atau DAP juga akan mendakwa mereka tewas kerana calon bakal KM Sarawak itu tidak sesuai sama seperti yang Nik Abduh katakan sekarang.

Mungkin ada yang tidak mengundi PAS kerana Baru Bian dinamakan sebagai calon KM Sarawak, tetapi untuk menyatakan itu punca PAS tewas di Sarawak adalah satu jawapan yang tidak bertanggungjawab. PAS sebenarnya berjaya menambah peratusan undi walaupun tewas kesemua kerusi, masakan Nik Abduh tidak mengetahui akan kejayaan PAS ini?

Justeru itu, saya amat tidak berkenan dengan cara Nik Abduh membela Tuan Guru Hj Hadi sehingga sanggup menyerang orang lain. Apatah lagi Nik Abduh bersuara selepas `peperangan' selesai dan orangnya tumpas, sedangkan beliau tidak bersuara sewaktu PR melangkah ke medan `peperangan'. Ini menunjukkan Nik Abduh menyembunyikan perasaan tidak puas hatinya terhadap keputusan PR di Sarawak di dalam keadaan pimpinan utama PAS lebih arif dan tahu mengapa PR membuat keputusan sedemikian.

Nik Abduh seharusnya mensasarkan Prof Dr Aziz Bari tanpa melibatkan pihak lain. Saya bimbang nanti ada pihak yang mendakwa Nik Abduh juga adalah libialiti kepada PR. Beliau seharusnya belajar dari ayahandanya tentang politik terutamanya di luar Kelantan./wfauzdin.blogspot.com

8 ulasan:

  1. anwar sebenarnya liabiliti... tak payah le umum calon KM, buat je kerja dulu, skrg anwar dah malu.. tapi prof aziz buta kot.. lagipun anwar dah tua.. umurnya 64 bukan 46.. anwar tua..

    BalasPadam
  2. kalau tak silap saya, ini bukan kali pertama nik abduh bersuara lepas..mungkin benar jika individu sebegini diangkat sbg pemimpin, dia menjadi liabiliti kepada pengikutnya.. setakat ini, siapa nik abduh dalam PAs ? Golongan yg cakapnya berdegar-degar dalam parti semakin banyak..sedangkan sumbangan mereka masih banyak yg dapat dipersoalkan..

    BalasPadam
  3. nik abduh memang liabiliti - kepada pas dan pr. nobody can deny...fullstop!

    BalasPadam
  4. apa pun terbukti yg "bapa borek anak rintik" dah tak boleh pakai...sikap yg ada pada bapanya tiada dalam diri nik abduh...seindah nama tidak secantik rupa...Nik aziz tetap yg terbaik dari yg terbaik...hanya Nik Aziz layak kritik sikap anaknya sbb beliau yg lebih kenal anaknya...tetapi anaknya tidak menjadikan sikap ayahandanya sebagai idola utk menjati diri sendiri...sama mcm najib sudah tentu tidak sebaik Tun Razak dulu..maka kita layak menolak najib jika pemerintahan dia tidak bagus...bukan mengekalkan dia kerana arwah bapanya...

    BalasPadam
  5. aku setuju tanpa 8:49. TGNA yg terbaik antara yg terbaik. Tapi bkn Nik Abduh. Dia naik kerana ayahnya bkn kerana kualiti dia. Cuba lihat cara hidup antara dua beranak ni. Jauh berbeza. Dan satu lg, ahli politik kena belajar di kritik. Baik Anwar, TGHH maupun Azmin harus berlapang dada mendengar segala kritikan lebeh2 lg dari seorang yg di anggap neutral. Jgn cepat melenting dan mempamerkan sikap tidak seperti sepatutnya bagi seseorang yg berimej islamik. Nnt jgn ada yg panggil 'ubat tamat tempoh'.

    BalasPadam
  6. salam alaik,
    saya harap saudara selidik dahulu sebelum memberi persepsi negetif kepada nik abduh, kesannya bukan sahaja buruk pada pandagan ahli, malah pada org umum.. saya meneliti artikel ini seolah2 saudara tidak tahu hujung pangkal atau saudara sengaja buat2 tak tahu... saya juga tidak semestinya betul, tp ambillah sedikit pandangan saya dalam hal ini.. sebenarnya soalan2 saudara mengenai baru bian ada jawapannya, sila bertanya sendiri kepada nik abduh, jgn lebih sudu daru kuah..

    jawapan saya untuk soalan 1 saudara
    Cadangan perlantikan baru bian oleh Anuar Ibrahim sebenarnya tidak melalui persetujuan semua pimpinan PAS... Full stop..

    BalasPadam
  7. bila undi lebih penting dari syiar islam...

    BalasPadam
  8. Jelas sifat hipokrik org PAS. Kenapa bila di mana PAS kuat, maka segala komponen PR kena patuh dgn pilihan PAS. Tapi bila di mana, contoh di Sarawak (walau PKR tak kuat mana pun) PKR menamakan calon KM, maka PAS boleh pula tidak bersetuju. Atau mmg sikap PAS mcm tu kerana perkara2 mcm ni saya alami sendiri di tempat saya. Boleh tidak bersetuju tapi bukan dgn cara sinis seperti Nik Abduh nih. Ingat, dlm PAS sendiri berapa ramai yg tidak berkenan dgn Nik Abduh kerana mulut dia takde insuran. Main ikut sedap mulut busuk dia je.

    BalasPadam

Terdapat ralat dalam alat ini