RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Rabu, 17 Jun 2009

DS ANWAR - SOKONGAN PADA UMNO KINI BERDERAI

Usaha Najib raih sokongan: Anwar

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak menolak sebarang kerjasama dengan Pas bagi membentuk kerajaan perpaduan sebagai usaha untuk meraih sokongan.

Beliau yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini telah memberikan jaminan bahawa parti itu akan memberi komitmen penuh kepada perjuangan pakatan.

Menurutnya, Abdul Hadi juga menyatakan bahawa Pas hanya akan mengadakan perbincangan dengan UMNO dalam soal membentuk sistem pilihan raya dan institusi kehakiman yang lebih adil serta telus.

“Sangat jelas Najib memerlukan sokongan kerana sokongan sedia ada sekarang ini sedang pecah berderai,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Semalam, Najib berkata beliau tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk negara dan percaya Pas ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti disuarakan oleh Abdul Hadi sebelum ini.

Ditanya mengenai kenyataan Nasharuddin Mat Isa yang menyambut baik kenyataan Najib dan akan memaklumkan perkara itu kepada Abdul Hadi secepat mungkin, Anwar berkata, tindakan itu Ahli Parlimen Bachok itu atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Pas.

“Tindakan Nasharuddin sebagai Timbalan Presiden itu betul untuk memaklumkan perkara itu kepada Presiden terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Anwar turut memberitahu usul beliau agar Dewan Rakyat membahaskan usul mengutuk tindakan junta tentera Myanmar terhadap pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi telah ditolak oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata, Parlimen seluruh negara Asean wajar membahaskan isu itu bagi mendesak kerajaan Myanmar mengambil tindakan yang lebih berkesan untuk membela Aung San Suu Kyi.

Dalam perkembangan lain, Anwar mempertahankan kenyataannya agar bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan balik atas dasar kemanusiaan.

Katanya, Malaysia patut menghormati perjanjian damai dengan PKM yang dipersetujui sebelum ini.

“Mereka telah menyerahkan senjata dan pulang dengan aman, sebahagian besar termasuk Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh dan beberapa pemimpin (PKM) telah pun pulang (dalam negara).

“Jadi sebab itu saya fikir atas pertimbangan perikemanusiaan maka harus dibenarkan (Chin Peng balik),” katanya.

Beliau turut menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang didakwa menangis serta memutarbelitkan hujah beliau berhubung perkara itu.

Anwar mempertikaikan sikap Hishammuddin yang tidak konsisten bila Perdana Menteri terdahulu termasuk Najib melawat negeri China dan menemui pemimpin Komunis Cina yang diketahui dan dibuktikan menyokong PKM sebelum ini.

“Jadi elok kita maju terus dan menyatakan sejarah sebagai satu realiti di samping terus memberi pengiktirafan kepada usaha dan pengorbanan pasukan keselamatan kita. Tapi jangan kita tunjukkan sikap kepura-puraan dan tidak konsisten dalam dasar ini,” katanya./SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan