Kerajaan Negeri Turut Beri Insentif Kepada Pemain Kelantan
KOTA BAHARU, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memberi jaminan akan turut memberi insentif kepada pemain bola sepak negeri ini kerana berjaya ke peringkat akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata insentif yang lebih besar dalam bentuk wang tunai akan diberi jika pasukan Red Warriors seterusnya menjuarai piala berprestij itu.
Bagaimanapun, Nik Aziz tidak menjelaskan jumlah insentif yang bakal dihadiahkan kepada pemain terbabit.
Pada musim lalu, pemain Kelantan dihadiahkan mengerjakan umrah kerana berjaya ke peringkat akhir piala berkenaan.
"InsyaAllah, kita akan turut memberi insentif kepada pemain Kelantan kerana berjaya ke peringkat akhir kejohanan piala itu... dalam bentuk wang tunai," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, Khamis.
Menurutnya, langkah kerajaan negeri menghadiahkan wang tunai itu supaya ia turut dapat dinikmati oleh semua keluarga pemain.
Beliau bagaimanapun, menasihatkan penyokong dari negeri ini menunjukkan semangat kesukanan yang sejati ketika menyaksikan perlawanan akhir itu nanti dan tidak memalukan Kelantan dengan menimbulkan kekecohan dalam perlawanan itu.
Katanya, beberapa insiden kekecohan semasa perlawanan akhir di Bukit Jalil musim lalu tidak harus berulang kerana ia tidak mencerminkan budaya dan sikap sebenar rakyat negeri ini.
Menurutnya, beliau tidak dapat menyaksikan perlawanan akhir itu Sabtu ini dan mewakilkan kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Negeri.
Beliau berharap semua rakyat negeri ini mendoakan agar Kelantan akan menjulang Piala Malaysia yang sudah lama diidamkan itu.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengisytiharkan cuti peristiwa pada Ahad ini jika Kelantan berjaya menjuarai piala berprestij itu, Nik Aziz berkata:
"Kita tidak bercadang untuk mengisytiharkan cuti peristiwa walaupun kita ada hak, kerana kerajaan negeri sudahpun mengumumkan cuti peristiwa pada hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas 4 November ini.
"Adalah tidak wajar kita mengambil cuti peristiwa kerap walaupun kita mempunyai hak berbuat demikian," katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan