RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Rabu, 27 Oktober 2010

PEMILIHAN PKR - KEHADIRAN NURUL TIDAK JEJASKAN SOKONGAN KEPADA FUZIAH SALLEH

Justify FullOleh: WFAUZDIN NS

YB Fuziah Salleh, MP Kuantan adalah salah seorang calon Naib Presiden PKR dan beliau telah mendapat pencalonan tertinggi bagi jawatan tersebut. Kesediaan YB Fuziah untuk mencuba nasib di dalam perebutan jawatan Naib Presiden wajar diberi pujian dan sokongan kerana beliau satu-satunya tokoh wanita di dalam PKR yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi membantu parti.

Beliau amat disenangi oleh pengundi-pengundinya di Kuantan, termasuk juga oleh penyokong-penyokong Umno/Bn di Parlimennya. Keikhlasan YB Fuziah melaksanakan tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat tanpa mengira ugama, bangsa dan fahaman politik menjadikan imej beliau dipandang tinggi. MB Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob pernah memuji dan menghargai peranan yang dimainkan oleh YB Fuziah selaku MP Kuantan.

Di peringkat Pusat, YB Fuziah telah diberi berbagai tugas dan tanggungjawab membantu parti terutamanya berkaitan pilihanraya. Semua tugas yang telah diberikan kepada tokoh wanita ini bukan suatu tugas mudah memandangkan PKR adalah sebuah parti yang sentiasa ditekan oleh Umno/Bn yang tentunya gagah dengan kuasa yang mereka miliki. Namun, di atas keberanian dan kebijaksanaan YB Fuziah mengatur strategi PKR mampu menghadapi Umno/Bn walaupun di dalam keadaan sukar.

Di dalam Parlimen, MP Kuantan ini bijak berhujah dan lantang bersuara sehinggakan kadangkala melebihi dari suara rakan-rakannya dari kaum lelaki. Bahkan, waktu artikel ini ditulis YB Fuziah sekarang berada di Sabah membantu parti di dalam menghadapi PRK Parlimen Bt Sapi. Beliau tidak punyai masa lagi untuk berkempen merebut kerusi Naib Presiden PKR, membantu parti lebih diutamakan daripada kedudukannya di dalam parti.

Apabila mendengar berita kununnya nama YB Fuziah telah dikeluarkan dari senarai pilihan bersama kumpulan YB Azmin, kita tidak perlu merasa gusar kerana YB Fuziah tetap akan menjadi pilihan ahli-ahli PKR. Setakat ini saya tidak dapat melihat sesiapa pun tokoh wanita yang berkebolehan seperti YB Fuziah hatta Ketua Wanita PKR sendiri. Dikatakan kemasukan YB Nurul Izzah sebagai pesaing kepada beliau akan menjejaskan peluang YB Fuziah. Jika prestasi diambil kira, rekod dan pengalaman menjadi ukuran, sudah tentu YB Fuziah lebih layak diangkat sebagai Naib Presiden PKR. Ini bukan bererti YB Nurul Izzah tidak berkebolehan tetapi anak sulung DS Anwar ini masih belum mencapai tahap yang diperlukan sebagai Naib Presiden PKR.

Terdapat ura-ura untuk memilih dua tokoh wanita yang bersaing ini ke jawatan Naib Presiden PKR. Mungkin tidak mustahil berlaku kerana terdapat mereka yang merasa serba salah untuk menyokong salah satu di antara dua tokoh wanita ini. Cumanya, jika benar kumpulan YB Azmin `menyingkir'kan YB Fuziah semata-mata hadirnya YB Nurul Izzah, pada pendapat saya ianya satu tindakan yang samasekali tidak bijak malahan dilihat seperti tidak jujur.

Keputusan YB Nurul Izzah mengumumkan hasrat bertanding jawatan tersebut disaat-saat akhir mendatangkan seribu persoalan. Persoalannya, mengapa YB Fuziah ditentang dan apakah selama ini YB Fuziah tidak melaksanakan tugasnya dengan betul? Adakah kerana demokrasi membenarkannya maka beliau patut ditentang walaupun tanpa alasan? Atau, adakah kerana seseorang yang mahukan YB Nurul Izzah berada di atas, maka YB Fuziah mesti dilawan?

Saya menyeru kepada semua ahli PKR agar membuat keputusan dengan bijak iaitu dengan meletakkan YB Fuziah berada di hiraki kepimpinan agar PKR terus mantap menghadapi PRU Ke 13 nanti./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan