Dzulfikar Mashoor |
KUALA LUMPUR, 15 Julai: Populariti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bakal memaksa beliau menghadapi pelbagai cabaran yang lebih dahsyat, termasuk ancaman bunuh. Bagi Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pemimpin tertentu Umno sanggup berbuat demikian memandangkan mereka sejak 12 tahun yang lalu beberapa kali sanggup memfitnah Anwar sebagai agen asing. "Saya tidak fikir Umno akan berhenti selepas 12 tahun menyerang Anwar, saya yakin pelbagai serangan yang lebih dasyat lagi mungkin akan menjerut leher Anwar. "Ada satu perkara hujung pada itu yang Umno masih tidak buat, dia belum tamatkan riwayat Anwar saja," ujar beliau petang tadi pada satu wawancara di lobi Parlimen. Sebelum pada itu, beliau berkata, Anwar pernah difitnah sebagai agen Libya sewaktu menjadi pemimpin mahasiswa kerana usahanya meniupkan ledakan kesedaran Islam mendapat perhatian dunia, termasuk Libya. Katanya lagi, Anwar sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah difitnah sebagai pengkhianat serta mengamalkan homoseksual dengan beberapa individu. Bertitik tolak pada sangkaan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Anwar akhirnya terpenjara enam tahun. Selepas dibebaskan, beliau berkata, Anwar difitnah lagi sebagai ejen Yahudi pula kerana beberapa peribadi tertentu yang berbangsa Yahudi berminat dengan usaha Anwar menentang rasuah dan meniupkan reformasi dalam negara. Menuduh Anwar sebagai 'ejen Israel' baru-baru ini, tambahnya lagi sudah cukup lengkap untuk pihak tertentu membunuh Anwar sebagaimana yang pernah terjadi di beberapa negara umat Islam sedunia. Dalam pada itu, beliau mempersoal keuntungan yang Umno nikmati dengan melakukan 'pembunuhan karektor' ke atas Anwar. "12 tahun dia dan PKR menjadi beg tinju Anwar, apakah Umno tidak belajar itu semua," soal beliau dalam nada yang kesal. Menurut beliau, 'pembunuhan karektor' yang menimpa Anwar itu kadang-kadang menguntungkan Ketua Umum PKR itu serta Pakatan Rakyat sendiri. "Serangan yang bertali arus ini adakah memberi kesan pada Anwar, saya fikir tidak," tegas beliau sambil menyuarakan rasa yakin bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijangka berlangsung tidak lama lagi. Dari segi lain, dakwanya lagi, Umno seakan masih menghantui pemimpin tertentu dalam kerajaan menjelang pilihan raya umum depan. "Di sebalik mereka (kerajaan) telah fitnah dia, mereka telah penjara dia, tahan dia (di bawah ISA), dan sekarang ini dituduh pula agen CIA-Yahudi, nampaknya Anwar ini masih menakutkan beberapa pemimpin Umno. "Mereka bimbang dan panik dengan populariti yang ada pada Anwar," ujar beliau lagi. Pun begitu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat tidak terpengaruh oleh dakyah-dakyah tidak beretika yang dicipta oleh Umno. Ini kerana, beliau berkata, rakyat kian rasional dan tidak boleh menerima dakwaan tanpa asas seperti yang ditiupkan Umno dalam media-media arus perdana belakangan ini. "Untuk menjadi seorang 'ejen asing', seseorang itu dilatih tidak kurang 10 tahun, tetapi Anwar lebih hebat kerana lepas 'tapisan keselamatan', dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan pernah memangku jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri). "Mustahil satu watak ini boleh menjadi pelbagai ejen beberapa negara asing," kata beliau sambil menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada satu temuramah lain, tidak menolak kemungkinan bahawa Umno bakal mengaitkan Anwar dengan kes pembunuhan gadis Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu kelak. "Tak lama lagi, Anwar mungkin akan dituduh agen Mongolia atau pernah jadi tukang gaji Altantuya, ini kerana sebelum ini pun terlalu banyak dakwaan Umno menggelikan hati saya," beliau berseloroh di lobi Parlimen. Ini kerana, beliau berkata, kabinet Najib terpaksa berbuat demikian demi mengalih tumpuan rakyat dari terus mengikuti perbicaraan kes kapal selam Scorpene yang kini sedang memberi keterangan di Direction Centrale de la Police (DNIF), Nanterre Prefecture, Perancis, semalam. "Polis Perancis yang sebut nama Najib, nama Rosmah Mansor (isteri Perdana Menteri) waktu siasat Bala, saksi utama skandal Scorpene, saksi utama kes bunuh gadis Mongolia," beliau menambah sambil tidak menolak kemungkinan yang dibangkitkan oleh Saifuddin sebelum ini./Harakahdaily |
Jumaat, 16 Julai 2010
ADA SATU PERKARA YANG UMNO BELUM BUAT KEPADA ANWAR
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan