RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 23 Oktober 2010

AHLI PARLIMEN PUN BOLEH HILANG ?

MP Kota Samarahan Hilang : Satu Lagi Pilihan Raya Kecil?

KUALA LUMPUR 22 OKT- Desas desus bertiup kencang di negeri Bumi Kenyalang berhubung keberadaan anak Ketua Menteri, Sulaiman Abdul Rahman Taib yang tidak kelihatan dikhalayak ramai sejak bulan Ramadan lalu.

Misteri 'kehilangannya' menimbulkan pelbagai spekulasi terutamanya dalam blog dan internet.

Antara berita angin yang tersebar luas di Sarawak ialah kemungkinan Sulaiman akan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kota Samarahan dan seterusnya membuka laluan kepada pilihan raya kecil, yang kedua di Sarawak selepas Sibu sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Malah laman web sarawakreport yang sentiasa mendedahkan mengenai kekayaan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarga, kaum kerabat serta kroni mereka mendakwa Sulaiman kini mendapat rawatan di Kanada (ada yang mengatakan di Australia) bagi mengubati penyakit 'gaya hidup' dan keadaan kesihatan beliau dikatakan dari 'membimbangkan' hingga ke 'tenat'.

Bagaimana pun persoalan yang lebih penting ke mana Sulaiman pergi menghilang sehingga rakan Dewan Rakyat, Charles Santiago daripada Pakatan Rakyat

mewakili DAP mengatakan beliau akan cuba mendapatkan jawapan Speaker Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab nanti.

Beliau dikatakan tidak pernah sekali hadir pada persidangan Parlimen lalu lantas menimbulkan pertanyaan dikalangan anggota Dewan Rakyat yang lain.

Sulaiman adalah Ahli Parlimen Samarahan, memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu dan terus dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Kritikan dalam media terhadap sikap beliau yang tidak menunjukkan minat di dalam tugas kementerian akhirnya membawa kepada perletakan jawatan Sulaiman pada Disember tahun lepas.

Alasan yang diberikan oleh ayahnya adalah kerana Sulaiman masih bersedih atas kematian ibunya, Puan Sri Laila Taib pada 29 April 2009.

Ketika dihubungi, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak, Baru Bian mendakwa Sulaiman telah tidak kelihatan di kawasan pengundinya sejak Jun 2009.

"Kami pun tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada beliau. Apa yang kami dengar hanyalah khabar angin bahawa beliau sakit," kata Baru.

Setiausaha MPN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh pula berkata penduduk di Kota Samarahan sudah mula meungut disebabkan ketiadaan wakil rakyat mereka sekurang-kurangnya sejal tujuh bulan lalu.

"Sesuatu perlu dilakukan. Tidak adil bagi rakyat yang memilih beliau tetapi tidak mendapat perkhidmatan darinya. Parlimen juga harus berbuat sesuatu," kata Abang Zulkifli. -Suara Keadilan

1 ulasan: