RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 8 Januari 2011

ISU SUK - SIAPA MENIPU SULTAN SELANGOR SEBENARNYA?

SU MB 'Sgor: Fakta pelantikan SUK diputarbelit

Jan 8, 11

Kenyataan ketua setiausaha negara (KSN) dan bekas setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud bahawa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dimaklumkan sebelum 21 Disember berhubung pelantikan SUK baru didakwa ternyata salah.

Setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin sebaliknya berkata, tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Ramli.

"Sebaliknya apa yang berlaku ialah KSN telah menyerahkan senarai nama kepada DYMM Sultan Selangor melalui Datuk Ramli. Cara ini ternyata tidak menepati prosedur dan membelakangkan Datuk menteri besar serta mengetepikan amalan telus dan profesional.

"Hal ini terbongkar apabila pada 21 Disember (setiausaha sulit Sultan) Datuk Munir (Bani) telah menghantar surat kepada setiausaha sulit menteri besar dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember yang beliau hantar kepada Datuk Ramli berkenaan perkenan Tuanku melantik Datuk Khusrin sebagai SUK," kata Faekah lagi.

Berikut kenyataan penuhnya sekitar kontroversi pelantikan Datuk Khusrin Munawi:

YAB Dato' MB terharu dengan titah DYMM Tuanku Sultan pada 6 Jan lalu. Tuanku ternyata melihat keikhlasan Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dengan telus cekap dan efisien. Tuanku juga menegur sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan di dalam isu yang hangat ini dengan memberi persepsi silap kepada rakyat. Pakatan Rakyat bersyukur dengan titah ikhlas yang dikeluarkan Duli Tuanku.

Mengambil maklum dan menjunjung titah Tuanku tersebut, Dato' MB ingin memperbetulkan beberapa dakwaan oleh bekas Setiausaha Negeri Dato' Ramli Mahmud dan KSN kononnya Dato' MB telah dimaklumkan berkenaan lantikan Dato' Khusrin Munawi sebelum 21 Disember. Dato' MB menegaskan beliau telah dibelakangkan dalam semua urusan penyerahan nama ke Istana sebelum 17 Disember 2010. Begitu juga maklumat dari KSN diserahkan kepada Dato' Ramli dan beliau tidak memanjangkan kepada Dato' MB.

Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk mentadbir negeri secara profesional dan mantap tanpa ada niat untuk bermain politik dalam soal pentadbiran mahupun mempolitikkan isu-isu tertentu. Namun apabila sesuatu fakta itu diputar belit serta bercanggah dengan bukti yang sedia ada, adalah menjadi tanggungjawab Dato' MB memberi penjelasan. Bukti amat jelas bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan yang melantik Setiausaha Negeri tanpa rundingan dengan Menteri Besar adalah satu tindakan sabotaj yang memang bersifat politik. Tindakan arbitrasi inilah yang telah memulakan segala kekeliruan dan akhirnya menjadi masalah.

Dato' Ramli akan bersara wajib pada 24 Mac 2011. Justeru, pada 26 Oktober Pejabat Menteri Besar telah diberi nota amalan (practice notes) dari Pejabat Setiausaha Negeri melalui Pusat Sumber Manusia (PSM) Negeri. Nota amalan ialah berkenaan amalan yang biasa (convention) yang dilakukan untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri ( SUK ). Nota amalan tersebut jelas menyatakan tatacara yang perlu diambil iaitu;

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak ( Gred 54 ke atas ) kepada Menteri Besar.

Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor.

Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan, Dato' MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah Ketua Setiausaha Negara ( KSN ) telah menyerahkan senarai nama kepada DYMM Sultan Selangor melalui Dato' Ramli. Cara ini ternyata tidak menepati prosedur dan membelakangkan Dato' Menteri Besar serta mengetepikan amalan telus dan profesional.

Hal ini terbongkar apabila pada 21 Disember Dato' Munir telah menghantar surat kepada Setiausaha Sulit Dato' MB dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember yang beliau hantar kepada Dato' Ramli berkenaan perkenan Tuanku melantik Dato' Khusrin sebagai SUK.

Antara 10 hingga 21 Disember, Dato' Ramli telah hadir pada dua Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Mesyuarat Exco), dua mesyuarat Majlis
Tindakan Ekonomi Selangor (MTES). Majlis persaraan beliau juga diadakan. Dalam lima pertemuan ini, Dato' Ramli tidak pernah menyebut bahawa Tuanku telah memberi perkenan kepada Dato' Khusrin.

Justeru, kenyataan KSN dan Dato' Ramli bahawa Dato' MB telah dimaklumkan sebelum 21 Disember ternyata salah. Tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Dato' Ramli.

Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ikhlas memperjuangkan kebajikan rakyat. Sekiranya kerajaan Persekutuan menghormati semangat Federalisme dan memahami kehendak rakyat yang telah memilih kerajaan Negeri Selangor hari ini, pastinya mereka tidak akan melantik seorang Setiausaha Negeri tanpa sebarang konsultasi dengan Dato' MB yang telah dipilih rakyat.

Dato' MB berharap KSN dan amnya SPA akan sanggup bekerjasama untuk mencari penyelesaian terbaik dalam masa terdekat. Tidaklah perlu memanjangkan perkara ini dengan menimbulkan isu lain kononnya Dato' MB terlewat menghantar nama dan sebagainya. Dato MB percaya hanya dengan bertindak secara profesional serta jujur pada amalan, isu ini boleh diselesaikan./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan