RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 8 Januari 2011

HARAMKAN UTUSAN DI SELANGOR?

AMK Desak Kerajaan PR Selangor Haramkan Utusan Malaysia
Jika Polis Gagal Ambil Tindakan

07/01/2011


SHAH ALAM 7 JAN: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja, Azmizam Zamanhuri memberi amaran untuk mendesak Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor mengharamkan penjualan akhbar pro-Umno, Utusan Malaysia sekiranya polis gagal mengambil tindakan.

Azmizam bersama kira-kira 30 ahli PKR membuat laporan polis di Ibu pejabat Daerah Shah Alam meminta siasatan dibuat ke atas Utusan Malaysia kerana mengeluarkan berita berbentuk fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Sebelum ini, akhbar Utusan Malaysia telah mengeluarkan beberapa berita dalam keluarannya bertarikh 3, 4, 5 dan 6 Januari 2011 yang menuduh Shuhaimi sebagai penderhaka kepada Sultan Selangor, mempertikaikan kuasa Sultan dan berniat menghasut rakyat melancarkan perang terhadap Raja-Raja Melayu. "Sekiranya pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia, saya nak bagi amaran, kita AMK akan berjumpa dengan Tan Sri Khalid, Datuk Menteri Besar (MB) dan kita akan mendesak MB Selangor untuk mengharamkan penjualan Utusan Malaysia di negeri Selangor," tegas beliau yang dijumpai di perkarangan IPD Shah Alam petang tadi.

Beliau berkata, pengharaman ini boleh dilakukan dengan meminta MB meluluskan dan menurunkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengharamkan penjualan akhbar tersebut di premis-premis yang diberi lesen perniagaan oleh kesemua PBT. Dalam pada itu, beliau juga meminta polis agar mengambi serius laporan yang dibuat dengan mengadakan satu penyiasatan yang telus dan adil. "Kita dah buat laporan ini, kita minta pihak polis menyiasatnya secara telus, secara adil, dan pastikan tindakan diambil terhadap Utusan Malaysia. Sekiranya tidak ada apa-apa tindakan daripada pihak PDRM, pihak kami akan terus membuat laporan dan akan terus ramai-ramai membuat laporan tanpa henti terhadap Utusan Malaysia yang bukan sahaja memfitnah YB Shuhaimi Shafiei tetapi juga memfitnah kerajaan PR terutama sekali Tan Sri Khalid Ibrahim," tegas beliau.

Selain itu, Azmizam juga menuntut pihak Utusan Malaysia meminta maaf kepada kesemua pihak yang terjejas akibat berita fitnah tersebut dan memberikan amaran tindakan lebih tegas akan diambil terhadap Utusan Malaysia sekiranya gagal menunaikan tuntutan. "Saya juga mendesak supaya Utusan Malaysia minta maaf kepada kerajaan PR, Datuk MB, juga kepada YB Shuhaimi Shafiei kerana memfitnah mereka. Kalau pihak polis tidak siasat, kita akan desak kerajaan Selangor untuk haramkan penjualan Utusan Malaysia, dan kita juga akan minta kerajaan dibawah naungan PR yang lain juga untuk mengharamkan Utusan Malaysia dijual di negeri-negeri tersebut," tegas beliau.

Beliau berkata, Utusan Malaysia kini telah dijadikan alat propoganda Umno-BN yang digunakan untuk menghuru-harakan keadaan politik negara serta mengganggu ketenteraman rakyat dengan cubaan melaga-lagakan kerajaan PR Selangor dan institusi Istana Negeri Selangor. Katanya lagi, insiden pintu masuk pejabat Shuhaimi yang disimbah cat merah juga berpunca daripada berita fitnah Utusan Malaysia. "Kenapa pejabat itu disimbah, sebab berpunca daripada fitnah yang dibuat oleh Utusan Malaysia terhadap YB Shuhaimi Shafiei menyebabkan mungkin ada segelintir rakyat keliru dengan kenyataan fitnah Utusan Malaysia menyebabkan ada rakyat yang mengambil tindakan sebegitu rupa, contohnya seperti menyimbah cat untuk melepaskan geram terhadap YB Shuhaimi Shafiei," jelas beliau.

Azmizam yang juga Naib Presiden AMK Pusat menegaskan, AMK Pusat juga tidak akan bertolak ansur atas perkara ini dan akan terus membuat laporan polis secara besar-besaran sehingga tindakan diambil terhadap Utusan Malaysia serta memberikan masa seminggu bagi polis mengambil tidakan. "Kita tak akan bagi peluang kepada Utusan Malaysia untuk terus memfitnah kerajaan PR dan seterusnya mengelirukan rakyat terutama sekali dalam isu perkauman dan isu Istana di Selangor," kata beliau lagi./TVNews

1 ulasan:

  1. sokong sangat..inilah masanya kita perlu buat jangan duk cakap je..selangor kan PR yang perintah..

    BalasPadam