KUALA LUMPUR 7 Dis - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Saifuddin Nasution Ismail berkata Umno dan pertubuhan serpihannya Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) bersikap bacul apabila tidak berani berhujah mengenai konsep 'Ketuanan Melayu' yang diagung-agungkan selama ini.
Sebaliknya kata Saifuddin, kedua-dua organisasi itu memilih untuk mencaci dan melemparkan kata-kata nista terhadap Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta parti tanpa memberi bukti dan hujah yang kukuh selain sekadar menafsir konsep itu sebagai 'Ketuanan Raja-Raja Melayu'.
"Saya menganggap tindakan Umno dan Perkasa mengheret institusi Raja-Raja Melayu dengan mentaklikkan 'Ketuanan Melayu' sebagai 'Ketuanan Sultan' adalah satu tindakan yang bacul di pihak Umno dan Perkasa. Mereka tidak mampu berdepan dengan persoalan penting membicarakan kaedah terbaik membela orang Melayu terbanyak seperti yang ditimbulkan KEADILAN, lalu mereka cuba menggunakan institusi Raja-Raja Melayu.
"Tindakan seperti inilah sebenarnya yang menghina institusi Raja-Raja Melayu kerana ia tidak menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu yang memayungi seluruh rakyat jelata tidak mengira kaum, agama dan pegangan politik.
"Kaedah sedia ada di bawa oleh Umno - iaitu mengabui mata rakyat mengenai hak mereka (melalui Umno) untuk terus berkuasa tidak kira prestasi mereka dan kebajikan rakyat keseluruhannya, terutamanya nasib orang Melayu.
"Konsep 'Ketuanan Melayu' yang dilaungkan secara terbuka dan dibisikkan secara senyap ini oleh BTN dan agensi-agensi lain, menakut-nakutkan orang Melayu bahawa perubahan kerajaan kepada pakatan politik yang lain akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa.
Apabila orang Melayu hilang kuasa, maka nasib orang Melayu akan terjejas dan akan tertindas," jelas Saifuddin dengan panjang lebar dalam kenyataannya semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang menambah Umno dan Perkasa tidak mampu memyembunyikan wajah perkauman sempit mereka sebenar walaupun pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui kempen 1Malaysia telah membelanjakan puluhan juta ringgit wang rakyat untuk membayar perunding antarabangsa bagi memperelokkan imej mereka yang sudah buruk.
Ini kerana sikap rasis dan perkauman yang menebal sudah menjadi amalan biasa dan sebahagian daripada darah daging pemimpin Umno dan Perkasa.
Ini berbeza dengan gagasan yang di bawa oleh r Wan Azizah pada Kongres Tahunan KEADILAN baru-baru ini di mana beliau mengupas bagaimana 'Ketuanan Melayu' dijadikan alasan dan asas oleh segelintir pemimpin elit Melayu untuk memperkayakan kaum kerabat serta kroni mereka.
"Gagasan tersebut, seperti yang disampaikan oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, menyentuh mengenai mekanisme terbaik untuk membela orang Melayu.
"Persoalan yang dilontarkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah adalah mudah; iaitu kaedah bagaimana yang boleh menjamin kelangsungan dan darjat orang Melayu yang akan dihormati dan bermaruah, dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi yang deras meninggalkan kita," tegas beliau.
Menyingkap sejarah penghinaan Umno terhadap insititusi Raja-Raja Melayu, Saifuddin berkata rekod parti itu amat tercemar dan diketahui oleh rakyat.
"Rekod mereka mencalarkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di mata rakyat sudah diketahui umum. Krisis-krisis perlembagaan yang melemahkan institusi Raja-Raja Melayu dalam tahun 1983 dan 1993 dicetuskan oleh Umno.
"Lebih malang, dalam kedua-dua siri krisis perlembagaan yang disusun oleh Umno itu, berlaku serangan-serangan yang bertujuan mengaibkan Raja-Raja Melayu dalam akhbar-akhbar dan media milik mereka.
"Ada beza yang besar di antara cakap-cakap seorang dua rakyat jelata yang dituduh mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, dengan satu gerakan tersusun yang dilaksanakan secara besar-besaran oleh sebuah parti politik yang mengaku mempertahankan 'Ketuanan Melayu'," ujar Saifuddin.
Justeru beliau memberi amaran supaya Umno dan Perkasa tidak lagi cuba memfitnah KEADILAN dan Pakatan Rakyat berhubung isu ini kerana Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan pada 19 Disember 2009, secara jelas mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra dan institusi raja berpelembagaan.
"Ini dinyatakan dalam Fasal 1 Perkara a(i) “Pakatan Rakyat akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153”; dan Fasal 1 Perkara a(ii) “Pakatan Rakyat akan mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan”.
"Makanya, KEADILAN ingin membawa kembali polemik “Ketuanan Melayu” ini kepada perkara dasar yang diulas oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail iaitu wacana kaedah terbaik untuk melahirkan anak bangsa Melayu yang beriman, boleh berdikari, berprinsip dan berdaya juang supaya mereka kekal bermaruah dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan arus globalisasi mutakhir.
"Apakah kaedah Umno yang memperkecilkan kebolehan anak Melayu, dengan menakut-nakutkan mereka dan menimbulkan rasa curiga terhadap semua yang bukan Melayu, akan berjaya melahirkan anak bangsa Melayu yang bermaruah?
"Apakah “Ketuanan Melayu” yang berpaksikan kepada sistem kroni dan mendokong rasuah dengan menghamburkan kekayaan negara kepada beberapa kroni rapat Umno (tanpa mengira kaum) akan melahirkan golongan peniaga Melayu yang berdaya maju? Apakah budaya rasuah yang berleluasa di dalam Umno akan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu tidak akan dijual suatu hari nanti?
"Apakah anak bangsa Melayu yang membesar dengan perasaan curiga akan dapat mengambil pendekatan positif menunggang arus globalisasi untuk menjadi pemimpin antarabangsa?" tanya Saifuddin kepada Umno dan Perkasa.
Beliau seterusnya menjelaskan persoalan yang diangkat oleh KEADILAN adalah persoalan jatidiri dan kaedah terbaik membina jatidiri tersebut. Ini berbeza dengan kaedah 'Ketuanan Melayu' a la Umno dan Perkasa bukan sahaja terbukti gagal membina jatidiri orang Melayu, malah menyebabkan kebajikan rakyat terbanyak (terutamanya golongan berpendapatan rendah yang majoritinya orang Melayu) terabai.
Menurut beliau lagi sehingga kini, selepas 30 tahun 'Ketuanan Melayu', 75 peratus dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu.
Golongan Melayu jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40 peratus paling miskin di Malaysia, seperti yang dihuraikan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-10.
"Selepas 3 dekad 'Ketuanan Melayu', rakyat terbanyak juga yang dibebankan dengan pemotongan subsidi sedangkan subsidi korporat sebanyak RM19 bilion setahun (dalam bentuk subsidi gas kepada penjana bebas) tidak disentuh.
"Umno dan Perkasa tidak melahirkan sedikit keluhan pun apabila bantuan kepada rakyat termiskin, yang rata-ratanya orang Melayu ditarik setiap enam bulan untuk menampung perbelanjaan boros kerajaan membayar perunding antarabangsa, sedangkan tidak ada satu mekanisme pun diperkenalkan untuk menyalurkan kembali rasionalisasi subsidi kepada golongan termiskin ini.
"Justeru, KEADILAN yakin bahawa polemik 'Ketuanan Melayu' ini adalah benteng terakhir Umno dan PERKASA yang kian rapuh dan ditolak rakyat.
"Demi melahirkan Malaysia yang majmuk, mengamalkan toleransi dan berdaya saing, KEADILAN akan konsisten membawa gagasan Ketuanan Rakyat melalui bangsa yang bermaruah kerana kami yakin gagasan ini tidak dapat dijawab oleh Umno dan Perkasa," kata Saifuddin. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan