RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Selasa, 23 November 2010

KERTAS UNDI HILANG, CUBAAN SABOTAJ PARTI - SAIFUDDIN

Saifuddin Nasution : Kertas Undi Dicuri Bertujuan Jatuhkan Imej PKR
22/11/2010


KUALA LUMPUR 22 NOV : Dua kertas undi hilang semasa dalam proses penghantaran dari ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat ke cabang-cabang yang terlibat dalam pemilihan semalam kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, disyaki kertas bagi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tersebut telah dicuri.

“Kita telah mengesan dua kertas undi bagi pemilihan MPP hilang semasa proses penghantaran dari ibu pejabat ke cabang-cabang.

“Daripada dua kertas undi itu, salah satu melibatkan cabang Pandan, kedua-dua kertas undi kita kesan hilang semasa proses penghantaran.

“Bila kita sedari bahawa dua kertas undi telah hilang, kita telah memaklumkan kepada pengawas bertugas supaya tidak membenarkan kertas undi yang sama nombor siri dengan kertas undi yang hilang itu digunakan,” kata Saifuddin kepada portal The Malaysian Insider.

Bagaimanapun proses pengundian berjalan lancar dan kertas undi baru telah digunakan bagi menggantikan kertas undi yang hilang.

“Jadi pemilihan hari ini (semalam) di dua cabang itu berjalan dengan lancar dan kertas undi tersebut tidak digunakan dan ia tidak sah kerana telah dicuri.

“Kita juga sekarang sedang menyiasat siapa indivdu yang terlibat dalam kehilangan dua kertas undi ini.

“Perkara ini kita juga sudah jelaskan kepada ahli dan tiada bantahan daripada mereka,” katanya.

Saifuddin tidak menafikan kehilangan kertas undi berkenaan mungkin dilakukan oleh individu yang tidak senang dengan PKR, dan bertujuan mensabotaj perjalanan pemilihan parti.

“Malah kita percaya ia merupakan taktik untuk sabotaj perjalanan pemilihan parti, apa-apa pun kita masih menyiasat perkara ini.

“Kita juga bernasib baik kerana kehilangan dua kertas undi itu tidak menjejaskan perjalanan pemilihan hari ini (semalam). Ia juga tidak mengubah keputusan pemilihan yang berlangsung.

“Kita juga percaya kertas undi itu telah dicuri dengan niat untuk menjatuhkan imej PKR dan membayangkan bahawa pemilihan PKR ini berlaku dalam keadaan kucar-kacir. Tapi apa yang jadi persoalan bagaimana penulis blog tersebut boleh menerima kertas undi tersebut, kalau dia terima maknanya dia terima daripada individu yang mungkin terlibat dalam kehilangan dua kertas undi itu,” tambah Saifuddin lagi.

Semalam adalah hari terakhir cabang-cabang PKR mengadakan proses pengundian.

Sebanyak 37 cabang melangsungkan proses pengundian iaitu 13 di Johor, tujuh di Selangor, satu di Sabah dan 16 lagi di Sarawak. Proses pengundian yang bermula 10 pagi berakhir 4 petang./TVNews

Tiada ulasan:

Catat Ulasan