RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Selasa, 9 November 2010

AZMIN DAN MUSTAFA MAHU SU AGUNG DAN JPP SIASAT ADUAN, TETAPI ZAID TERUS TARIK DIRI

Saya di sebalik segala-galanya, acah Azmin
Salhan K Ahmad
Nov 8, 10


Naib presiden PKR Azmin Ali enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau terlibat dalam proses pemilihan parti itu yang sedang berlangsung sehingga menyebabkan pencabarnya Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut, beliau secara berjenaka berkata "malangnya saya adalah (dalang) di sebalik segala-galanya."

Bercakap selepas sesi pembentangan bajet 2011 di bangunan DUN Selangor hari ini, Azmin berkata beliau menyerahkan dakwaan-dakwaan berkenaan supaya disiasat oleh setiausaha agung Saifuddin Nasution dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat.

"Saya tidak berada dalam kedudukan untuk membuat apa-apa komen berkenaan hal itu, dan saya percaya setiausaha agung telah membuat satu kenyataan keras semalam untuk menjelaskan keadaan itu.

"Demi kebaikan keseluruhan proses (pemilihan) ini, saya rasa kita patut benarkan setuausaha agung dan JPP untuk menyiasat aduan ini dan bertindak sewajarnya," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan keputusan Datuk Zaid Ibrahim untuk mengundurkan diri daripada pemilihan timbalan presiden PKR sebagai satu "keputusan peribadi."

"Itu keputusan dia, daripada awal saya melihat ini adalah satu persaingan sihat di dalam parti dan merupakan satu pertandingan persahabatan di kalangan pimpinan untuk menawarkan khidmat.

"Dan sekiranya benar beliau mengambil keputusan (menarik diri), itu adalah keputudsan peribadinya walaupun saya melihat daripada awal penglibatan Datuk Zaid dalam parti adalah untuk bersama untuk membawa perubahan," katanya lagi.

Azmin yang kini mendahului pencabar lain dengan majoriti sebanyak 2,620 undi setakat ini juga berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh anggota parti, khususnya di negeri sabah dalam dua hari semalam.

"Saya berasa gembira untuk menyatakan bahawa sokongan terhadap saya sejak dua minggu lalu adalah amat memberansangkan.

"Ini adalah proses demokrasi dalam parti yang harus diterima oleh calon yang bertanding dalam pemilihan parti.

Ditanya sekiranya tindakan Zaid mengundurkan diri daripada bertanding hari ini akan memberi kemenangan kepadanya, Azmin berkata beliau tidak mahu membuat apa-apa spekulasi.

"Sebab ada lagi beberapa negeri yang akan menjalankan pemilihan pada hujung minggu ini dan hujung minggu depan.

"Kita akan tunggu sehingga cabang yang terakhir bermesyuarat pada 21 November sebelum kita buat rumusan mengenai proses ini,

"Pemilihan akan berterusan dan saya yakin anggota parti dapat melihat ini sebagai satu proses demokrasi dalam parti.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihannya, Azmin - kini naib presiden - di depan dengan 6,525 undi, manakala Zaid mendapat 3,905 diikuti Mustaffa Kamil Ayub dengan 1,215 undi./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan