RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Ahad, 7 November 2010

MEREKA SEMAKIN GANAS, CABARAN BUAT PR

Musuh Makin �Mengganas� - Dugaan Makin Mencabar Bagi PR
05/11/2010


Tidak sukar untuk mengagak tajuk utama muka depan akhbar-akhbar arus perdana esok berikutan kemenangan 2-0 Barisan Nasional(BN) di Galas dan Batu Sapi semalam.

Kemenangan dengan majoriti besar sudah tentu akan dicanang oleh Berita Harian, Utusan Malaysia dan akhbar lain sebagai bukti nyata BN semakin mendapat keyakinan rakyat dan hari-hari gelap tsunami politik 2008 sudah berlalu.

Sememangnya itulah mesej yang dibawa oleh RTM, TV3, Awani dan BernamaTV semalam dan tentunya hari ini dan beberapa hari yang akan menyusul.

Akhbar arus perdana terpaksa sabar sedikit hari ini dalam usaha membawa pesanan sama kerana tidak ada penerbitan sempena cuti Deepavali.

Tidak ada antara media berkenaan yang akan menyebut rakaman video di Batu Sapi menunjukkan orang ramai beratur untuk menerima wang dari Wanita Umno. Begitu juga dengan foto-foto serupa di luar pejabat MCA di kawasan parlimen itu.

Tidak juga akan ada media arus perdana yang akan mengimbas video zink bumbung diberikan percuma kepada pengundi di situ.

Begitu juga di Galas - khemah khas Umno untuk memberikan pengundi RM250,00 setiap seorang selepas mengundi yang dirakam dengan bukti bergambar dan wawancara dengan penerima akan tenggelam begitu sahaja.

Jika ada pun laporan media arus perdana yang mahu menyingkap isu rasuah, tentunya yang dijadikan rujukan adalah pemberian duit zakat kepada tiga mualaf Orang Asal oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat di Galas.

Pastinya tidak ada media yang 'berani' menyentuh pesta arak dan karaoke yang dianjurkan di penempatan Orang Asli supaya mereka memberikan undi kepada Umno.

Semua ini akan ditolak ke tepi dalam keghairahan media arus perdana mencanang kemenangan Umno-BN di Galas dan Batu Sapi.

Kemenangan BN itu diangkat sebagai bukti rakyat menyokong pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan menolak PAS serta Parti Keadilan Rakyat(PKR), malah seluruh Pakatan Rakyat.

Mungkin kemenangan itu sendiri adalah 'ilham' yang ditunggu-tunggu oleh Najib untuk memanggil pilihan raya umum bagi mendapatkan mandat terhadap pemerintahannya.

Apa pun tafsiran yang dibuat terhadap keputusan pilihan raya di Galas dan Batu Sapi, ia tidak harus menenggelamkan hakikat bahawa rasuah politik berleluasa pada kadar yang lebih teruk daripada sebelumnya.

Yang lebih mendukacitakan ialah pendirian yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihanraya iaitu berpeluk tubuh apabila sogokan membabitkan BN dan menunding jari dengan pelbagai tuduhan apabila PAS atau Pakatan Rakyat menjadi sasaran.

Kewujudan pengundi warga asing yang memegang Mykad di Batu Sapi dan tindakan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli(JHEOA) 'menjaga' Orang Asal bagi memastikan mereka mengundi BN, adalah realiti politik yang terpaksa dihadapi oleh Pakatan Rakyat.

Nyata gagasan itu tidak boleh mengharapkan kepada SPR untuk mendapatkan pembelaan. Nyata padang adalah tidak rata untuk PR menyaingi Umno dari segi jentera dan wang untuk berkempen.

Nyata juga gagasan pembangkang mempunyai kelemahan dalaman dari segi organisasi dan dasar yang perlu diperkemaskan.

Keputusan Batu Sapi dan Galas adalah amaran paling lantang kepada Pakatan Rakyat bahawa sifir politik yang memberikan kemenangan kepada mereka pada tahun 2008 perlu diolah dan dirombak semula supaya selaras dengan realiti politik semasa.

Kali ini ancaman daripada kekuatan agensi-agensi persekutuan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) sendiri adalah lebih nyata.

Ketelusan senarai daftar pengundi dan keadilan proses pengundian itu sendiri semakin terhakis dan akan terus menjadi faktor penentu untuk memastikan kemenangan mutlak Umno-BN pada pilihan raya akan datang.

Pakatan juga perlu menjalani muhasabah dan mengambil tindakan yang perlu untuk menampilkan diri sebagai sebuah barisan yang jitu dan berwibawa untuk menawan Putrajaya dan lebih penting bagi membela rakyat - rakyat yang dahagakan pemerintahan yang bebas dari rasuah, kronisme dan penyelewengan kuasa.

Amaran Najib bahawa Umno akan mempertahankan Putrajaya habis-habisan tidak harus diambil ringan. Galas dan Batu Sapi adalah bukti nyata dan jelas bahawa Umno sanggup mencapai matlamatnya dengan menghalalkan apa cara sekali pun./TVNews

Tiada ulasan:

Catat Ulasan