RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Selasa, 9 November 2010

DI SEBALIK DR ASRI SARANKAN ANWAR BERUNDUR, NURUL IZZAH BERCAKAP TENTANG AYAHNYA

Nurul Izzah: Dia bukan Anwar kalau tak berjuang untuk kepercayaannya

Lim Hong Siang
Nov 08, 2010

"Saya dizalimi, Nurul Izzah. Bapa akan lawan. Bapa akan pastikan keadilan terlaksana..." Demikianlah kata-kata yang ringkas, disampaikan melalui telefon oleh Anwar Ibrahim kepada anak sulungnya, Nurul Izzah pada malam sebelum 2 September 1998.

Peristiwa yang berlaku selepas panggilan telefon itu mengubah hidup seorang penuntut semesta pertama Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak. Berakhirlah fasa hidup Nurul Izzah sebagai anak Timbalan Perdana Menteri, memulakan pengalaman hidup yang baru - menyaksikan bagaimana bapanya dizalimi oleh satu regim yang disertainya untuk 16 tahun.

Ironinya, Nurul Izzah hanya bangga sebagai anak Anwar Ibrahim selepas peristiwa pemecatannya dari jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan. Nurul sebenarnya berasa malu, agak segan untuk diketahui identitinya sebagai anak TPM. "Kita tak tahu sama orang berkawan dengan kita, kerana dasar diri kita ataupun latar belakang ayah kita, keluarga kita? Jadi tentunya saya lebih selesa mengamalkan hidup yang low profile itu...," jelasnya.

Kebanggaan jadi anak Anwar Ibrahim

"Tetapi selepas ayah saya diperlakukan dengan zalim, menjadi tahanan politik, baru saya merasai kebanggaan menjadi anak Anwar Ibrahim," katanya dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 3 November 2010, yang berlangsung di kafe ahli Parlimen untuk kira-kira 45 minit.

Nurul Izzah (gambar kanan) meneruskan, "Kerana saya nampak... Saya nampak dengan mata saya sendiri bagaimana beliau begitu berani perjuangkan prinsip, berani tidak meletakkan jawatan, berani melawan, semua ini yang kita harapkan daripada ayah dan ibu kita untuk mengajar kita. Mereka tak boleh melindungi kita selama-lamanya. Mereka hanya boleh beri contoh bagaimana nak menangani cabaran."

Namun, Nurul semestinya tidak naif pada usia 18 tahun ketika itu, dan sudah tentunya beliau mampu meramalkan apa risikonya untuk melawan satu regim yang berkuasa untuk puluhan tahun. Apakah niat timbul untuk memujuk agar bapanya tidak melawan?

Dengan tegas Nurul menjawab, "Tidak. Saya kenali ayah saya. Dan beliau adalah seorang yang amat tegas dan berpendirian. Maksudnya, kalau beliau sudah bertekad untuk melakukan sesuatu, kita selaku anak perlu menghormati keputusan beliau, seperti beliau menghormati keputusan saya. Kerana saya fikir, he will not be Anwar Ibrahim if he doesn't fight for his belief. (beliau bukan Anwar Ibrahim kalau beliau tidak memperjuangkan kepercayaannya)."

Apa guna kalau jiwa terpenjara?

"Dan memang, tentunya ada ketika kita mahu beliau selamat. Tidak ada siapa yang mahu ayahnya dipenjara atau dalam keadaan bahaya. Tapi apa gunanya kalau dia selamat tapi jiwanya terpenjara? Jiwanya tidak bebas, tidak merasakan... macam pasrah dengan keadaan. Kita tidak boleh pasrah dalam mana-mana keadaan sekalipun," kata Nurul Izzah, yang diberi gelaran "Puteri Reformasi" pada zaman gerakan ini bergelora.

Liku-liku kehidupan selepas tahun 1998 mengubah seorang gadis "yang agak apolitical" dahulu, kepada seorang wakil rakyat sekarang. Ketempangan dalam sistem kerajaan bukan wujud hanya pada tahun 1998, dan kepincangan ini pernah dibangkitkan oleh rakan sebayanya, kemudian dipanjangkan dalam perbincangan informal antara dirinya dengan bapanya. Namun, "real life experience" lebih memberi hikmah.

"Pada saya, saat yang paling menyayat hati dan memeritkan adalah apabila kali pertama (berjumpa dengan Anwar) selepas ayah ditahan di bawah ISA. Kami berjumpa dengan beliau di mahkamah dan melihat mata lebam. Kerana kami tak tahu ayah hidup atau tidak..." Nurul menceritakan betapa terkejutnya keluarganya pada saat-saat tersebut, sedangkan mereka dijamin bahawa Anwar Ibrahim akan berada dalam keselamatan ketika dihantar ke Balai Polis Bukit Aman.

"...Bayangkan, ayah kami yang...saya tak boleh... Saat itulah saat yang saya tak tahu nak kata apalah. Maksudnya, tak terkata apa, nak bayangkan keperitan yang dihadapi dan kita sebagai anak kita, kita nak lakukan apa? Tak terdaya. Tak boleh nak bantu, tak boleh nak menjerit, tak boleh...apa yang kita boleh buat? Pada ketika itulah...kesakitan yang teramat bagi saya melihat beliau dalam keadaan begitu."

Saat paling menyayat hati

Nurul menunjukkan dengan jari, bagaimana Anwar bergerak dari kiri ke kanan di depan mereka ketika itu. Wawancara dijalankan di dalam kafe yang agak riuh-rendah, meskipun dalam bangunan parlimen, kedengaran bunyi ketawa yang terbahak-bahak daripada ahli parlimen yang bersembang dalam kafe - menjadi latar belakang kebetulan ketika peristiwa ini dikisahkan.

"Sempat tak bercakap dengan beliau?" Wartawan cuba mencungkil ingatan Nurul Izzah. "Kami terus menangis...memang. Dan, ayah kata, tak apa, dan dia terus memperincikan bagaimana dipukul di mahkamah," jawab Nurul, dengan sedikit kemerahan dalam matanya, yang tidak pasti puncanya sama ada keletihan mahupun kesedihan.

Dari satu segi, Nurul Izzah sebenarnya tidak memiliki kelebihan selaku anak Anwar Ibrahim. Beliau tidak diperincikan mengapa bapanya membuat keputusan untuk tidak meletak jawatan sebelum ini, dan hanya mengetahuinya melalui ceramah bersama orang awam. Beliau tidak sempat mengetahui punca mata lebam ayahnya sebelumnya, yang hanya diperincikan ketika Anwar tampil dalam mahkamah.

Nurul mengakui bahawa dirinya tidak terkejut ketika pertuduhan liwat terhadap bapanya dibacakan dalam mahkamah, kerana ia sudah didedahkan dalam ceramah politik sebelumnya.

"Kerana pada saya, bila kita dah tahu, kita yakin dengan keikhlasan, tahu ayah tak bersalah, yang lain itu datang dengan lebih mudah-lah. Memanglah kita menyampah (dengan tuduhan tersebut)..." Maka, ketika tilam dinaik-turunkan, apa yang terlintas dalam otak Nurul adalah mengumpulkan bukti untuk menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa bapanya dizalimi oleh sistem keadilan.

Apabila pertuduhan ini berulang dengan Saiful Bukhari (gambar atas) sebagai watak utamanya, 10 tahun kemudian, Nurul berkata, "Saya fikir, lebih kepada marah, marah in the sense that...pada saya tak terkejut, kerana pada saya regim yang sama masih memerintah negara. Jadi, rasional kita bahawa selagi regim ini memerintah, tentunya tidak ada reformasi menyeluruh. Dan selagi tidak ada reformasi menyeluruh dilaksanakan, maka tentunya perkara yang sama, kezaliman yang sama akan diulangi..."

Beliau meneruskan, "Saya lebih marah kerana tidak tersangka bahawa kejahatan manusia itu tidak ada berbandingnya. Tapi kita perlu letakkan dalam konteks sekarang kita berhadapan dengan masa depan yang benar-benar memungkinkan kejatuhan UMNO dan BN. Sebelum ni tidak. Saya rasa tahun 1999 ada saat di mana kita berfikir mungkin BN akan jatuh. Ini kali kedua, bila selepas tahun 2008 yang memberikan keyakinan bahawa BN mungkin jatuh..."

Ringkasnya, Nurul cuba meletakkan keperitan yang berlaku di depan matanya dalam satu konteks yang sarat dengan harapan, memudahkan dirinya untuk menerima realiti tersebut. Maka tidak sukar untuk menjangkakan kesedihannya apabila "konteks besar" itu mendatangkan kekecewaan sebaliknya, misalnya PRU ke-11 pada tahun 2004.

PRU ke-11 yang menyedihkan

"Saya sedih kerana pada ketika itu parti juga hanya mempunyai satu kerusi parlimen, dan nampak seolah-olah tidak ada harapan lagi. Memandangkan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi juga menang begitu besar, lebih 90% daripada kerusi di parlimen. Dan sokongan rakyat begitu melonjak naik untuk beliau, dan kepimpinan, dan juga janji-janji palsu kepada reformasi..." katanya.

"Jadi tentunya, memang saat ini saat yang sukar untuk kami, kerana kita memang sentiasa berharap, kita optimis, tapi kalau apa pun, pemenjaraan ayah dan keadaan ayah yang pada ketika itu memang sudah menggunakan kerusi roda, sudah merasai kesakitan belakang yang teramat sangat, jadi semua ini memberi saya rasa... Ya, amat sedih kerana... Yalah, kita berdepan dengan pelbagai cabaran, dengan pelbagai bentuk, kan?"

Beliau menyambung, "Persada politik sudahlah merudum, sangat sedih keadaannya. Dan secara peribadi juga tidak banyak yang dilakukan... Kerana kita tahu, mana-mana negara sekalipun, di luar dunia antarabangsa, sokongannya tidak konsisten. Kekuatan kita adalah dalam negara."

"Apakah keputusan PRU pada tahun 2004 ditafsirkan sebagai Anwar telah dilupai?" tanya wartawan MerdekaReview.

"Saya tidak. Beginilah. Sememangnya sebagai seorang simbol, Anwar Ibrahim (gambar kanan), batang tubuh beliau yang sangat kuat, tapi tentunya ia terpaksa juga digandingkan dengan keupayaan kita untuk mengubah hidup rakyat, memberikan alternatif yang lebih baik untuk rakyat. Jadi, segala-galanya perlu seimbang."

Nurul berkata, "Jadi kalau asyik kalah saje dalam pilihan raya, tak banyak yang boleh kita tawarkan untuk rakyat. Kekangan itu luar biasa terhadap pimpinan. Bayangkan tahanan politik... Bila (Parti) Keadilan mula merudum? Keadilan mula merudum setelah enam orang pimpinan kami ditahan di bawah ISA..."

"Sama seperti Parti Rakyat Malaysia. Kalau dibiarkan kami hidup, tanpa tangkapan, tanpa kekangan... Jadi kalau you biar demokrasi itu subur tanpa kekangan, saya pasti Keadilan akan mendapat lebih kepercayaan daripada sekarang."

Sokongan yang memahat ingatan

Namun, di sebalik kegelapan sifat manusia, tetap ada cahaya yang meneranginya. Dan detik-saat inilah yang memahat hati Nurul Izzah, ketika mengharungi peristiwa yang menyayat hati itu.

"Semasa saya terpaksa menghadapi peperiksaan akhir, final paper. Semasa ayah dipecat. Saya tak boleh tunda peperiksaan akhir saya. Dan saya fikir yang paling terpahat di fikiran saya adalah betapa banyak sokongan diberikan oleh teman-teman. Semesta pertama kita baru kenal, kita baru kenal orang, kan? Kawan saya semuanya, tanpa kecuali beri sokongan yang begitu menyeluruh termasuk juga para profesor, para lecturer, pensyarah yang pada saya sesuatu yang tak mungkin dinikmati oleh mangsa-mangsa tahanan Ops Lalang dulu..."

Nurul menganggap dirinya bernasib baik, pada ketika beliau memerlukan pemahaman orang di sekitarnya, "Kadang-kala manusia ni mungkin dari senyuman, mungkin dari satu pandangan bila kita tengah sedih, tidak perlu buat banyak. Tapi semuanya memberi mesej yang (berbunyi) 'saya bersama kamu'."

"BN tak boleh rampas saat-saat indah bersama ayah!"

Sesungguhnya, "Keluarga Reformasi" ini enggan menyerah ketika menghadapi musuhnya. Segala yang bersifat kebendaan boleh dirampas, malah jasad tubuh badan boleh dikurung, tetapi bukan kebahagiaan mereka.

"Setiap kali kami ke penjara, tidak ada berita yang sedih yang dikhabarkan. Kami sentiasa optimis kalau dalam penjara, dipenuhi dengan gelak ketawa. Walaupun (tahun) 2004, walaupun ayah sakit...apa pun, dipenuhi dengan gelak ketawa. Kerana itu masa kami. Dan kalau BN hendak menghancurkan dan merampas kegembiraan kami, BN tak boleh merampas saat-saat indah bersama ayah, walaupun setengah jam, sekali seminggu!"

Jawapan ini cukup untuk mengalahkan musuhnya. Namun, di sebalik ketabahan, mustahil kesedihan tidak menjelma, dan ia diakui Nurul Izzah.

"Memang, setiap kali memang ada kesedihan. Tetapi kami cuba fikirkan, kami kena fikirkan, yang kena tahan ISA tu juga sedih. Tahanan ISA, keluarga mereka juga...jadi it s not only about us. Kita merasa ada orang lain... Aung San Suu Kyi di Burma, suaminya meninggal dunia, tak dapat berjumpa pun. Dan anak-anaknya tidak bersama beliau, keseorangan... Jadi, semua ini membawa kami kepada perspektif baru, di mana bukan kita sahaja keseorangan dalam kesengsaraan ini."

Ketika diminta untuk menilai ibunya Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah memberi jawapan sebaliknya, "Ayah saya adalah seorang lelaki yang paling bernasib baik di dunia ini," katanya sambil ketawa.

Bagaimana pula Anwar Ibrahim (gambar kiri) sebagai ayah dari kaca mata Nurul?

Ketika ditanya, Nurul berkata, "Beliau seorang yang amat penyayang, dan sentiasa mencuri masa untuk menaburkan kasih kepada keluarga. Setiap orang anak-anaknya. Dalam kesibukan semasa (menjadi) Timbalan Perdana Menteri, setiap malam beliau akan mengucapkan selamat malam kepada kami semua. Bayangkan, walaupun tak jumpa lama tapi ucapan selamat malam, makan bersama itu adalah rutin harian," katanya, sambil menambah bahawa bapa yang tidak mahu memanjakan anak-anaknya ini "memang mengutamakan perjuangan, tapi kasihnya itu tidak pernah dilupakanlah."

Bagaimana pula selaku seorang ahli politik? "Saya fikir, sebagai orang politik, beliau menunjukkan karisma dan stamina yang terbaik antara banyak pemimpin. Mungkin yang terbaik kalau dibandingkan dengan pimpinan lain. Nobody work as hard as Anwar Ibrahim. Itu yang saya nampak."

"Saya pun tak terlawan. Masa dia bantu, termasuk Dato Zaid di Hulu Selangor (pilihan raya kecil), tidak ada siapa, dia kerja lebih keras daripada calon. Saya boleh sebut, itu caranya," kata Nurul, yang mengadu letih - "I am so tired" sepanjang wawancara, kerana terpaksa berhempas pulas sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi.

"Tapi tentunya, untuk mana-mana pemimpin, dia perlukan dokongan. Sokongan strategi, sokongan daripada pimpinan nombor dua. Timbalan Presiden contohnya, dan Naib-Naib Presiden. It's not a one man show," katanya, yang sudah tentu kasihan melihat bapanya yang kini berusia 63 tahun, terpaksa berulang-alik dari mahkamah ke Batu Sapi untuk kerjaya politiknya.

Beban yang terlalu berat di bahu Anwar

Nurul merendahkan suaranya, "Dan pada saya, yang mencetus kesedihan saya adalah bila masa beliau..segala-galanya permasalahan negara, harapan Pakatan Rakyat, harapan pembangkang letak di atas bahu beliau. Dan saya fikir tidak adil. Mana-mana pemimpin pun, perlu mendapat sokongan dan dukungan yang teguh. Kerana itu BN menggunakan strategi kotor menyerang peribadi, menyerang beliau di mahkamah. When you attack him personally, dia akan cuba menggagalkan Pakatan Rakyat, menggagalkan perancangan lain."

"Bayangkan kalau kita tidak ada kes mahkamah, bukankah beliau dilihat sebagai seseorang yang amat berjaya, tidak ada langsung masalah, problem, konflik, benar tidak? Tapi bila menggunakan cara kes (mahkamah), mencetus lompatan dan sebagainya... Kepada saya mudah, Saiful juga mempunyai maklumat dari segi mereka yang hendak melompat. Dia bekerja dalam pejabat. Jadi, bayangkan semua ini terikat satu sama lain..."

Calon Naib Presiden PKR ini cuba merungkai bahawa tuduhan liwat Saiful Bukhari bukan serangan peribadi terhadap Anwar semata-mata, tetapi bersangkut-paut dengan maklumat parti, malah politik negara dalam satu lingkungan yang lebih besar.

"Jadi, apapun, masalahnya sekarang, saya fikir tiba masanya pimpinan-pimpinan lain memberikan sokongan, dukungan dan strategi ke depan untuk membantu beliau sampai ke Putrajaya. Jangan harap beliau seorang. Kita bantu. Beliau itu kuat, karismanya itu meyakinkan, tapi jangan harap, jangan expect dan berikan bebanan berterusan. Itu kerja pemalas. Maaf..." luahan yang jujur Puteri Reformasi, yang juga anak sulung kepada Anwar-Azizah/Merdeka Review

2 ulasan:

  1. Bro..politik anak branak hentiknlh. Org lebih suka politik kebenaran, daripada politik simpati. Aura anwar dah habis, gara-gara 10 ekor katak melompat dan juga pemilihan PKR yang sonsang dan x adil

    BalasPadam
  2. aku tunggu je bila si jijah nak mengaku yg dia pon diliwat..

    BalasPadam